Tuesday, November 14, 2017

RAWATAN MELECUR APABILA TERKENA AIR PANAS

MELECUR

Lecur atau luka bakar[ merupakan sejenis kecederaan yang berlaku pada daging atau kulit disebabkan terkena kepada haba, elektrik, bahan kimia, cahaya, sinaran atau geseran. Kebanyakkan kejadian lecur hanya memberi kesan kepada kulit (tisu epidermis). Bahagian tisu yang lebih dalam seperti otot, tulang dan pembuluh darah juga kadang-kala mengalami lecur. Lecur mungkin boleh dirawat dengan pertolongan cemas dan dalam kes yang teruk, seseorang itu mungkin terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.


RAWATAN MELECUR APABILA TERKENA AIR PANAS
 

RAWATAN MELECUR UNTUK ANAK KECIL. IBU BAPA PERLU TAHU!

Berikut adalah cara rawatan melecur ringan selamat dan boleh anda lakukan di rumah, terutamanya jika melibatkan anak kecil.

LALUKAN DENGAN AIR PAIP
Apabila terpegang benda panas, anda boleh terus melalukan anggota yang tercedera dengan air paip selama sekurang-kurangnya 5-10 minit. Kalau terkena pada bahagian anggota yang besar, dudukkan anak di bawah pancuran air di bilik mandi selama sekurang-kurangnya 20 minit atau sehingga kesakitan tidak lagi dirasai.

Selepas itu, boleh menggunakan tuaman tuala sejuk untuk melegakan kesakitan. Walaubagaimanapun, elakkan daripada menggunakan ais secara langsung kerana terdapat sumber mengatakan ia oleh menghalang pengaliran darah dan seterusnya menyebabkan kerosakan pada tisu-tisu yang sensitif.

TANGGALKAN PAKAIAN YANG TERKENA AIR PANAS
Menurut Dr Hana Hadzrami, jika anggota melecur dilitupi dengan barang kemas, lampin bayi atau pakaian tebal; tanggalkan dengan serta-merta supaya kulit boleh segera disejukkan sebelum ia ‘masak’. Kadangkala, ibu bapa terus panik dan terus bergegas membawa anak ke klinik tanpa menanggalkan pakaian tebal dan masih panas.

Kulit yang tersiram air panas boleh ‘masak’ secara perlahan-lahan kerana sumber haba tidak dihentikan. Sementara menunggu masa tiba di hospital, kesan melecur ringan tadi boleh menjadi lebih teruk!

ELAK PETUA YANG ‘PELIK’
Selalu kita dengar petua rawatan lecur menggunakan bahan tertentu seperti tepung, ubat gigi, kicap, dan sebagainya. Jika kesan lecuran tersebut kecil dan berlaku pada orang dewasa, petua ini mungkin boleh digunapakai. Tetapi, jangan sesekali melakukannya sebagai ‘first aid’ atau langkah kecemasan pertama, terutamanya pada anak kecil yang sedang kesakitan.

Andrew Kong, seorang ahli farmasi menjelaskan melalui sebuah akhbar bahawa kaedah ini dapat membantu menyembuhkan luka dan melegakan kesakitan, tetapi ubatan-ubatan ini bukan sahaja tidak berkesan, malah mungkin akan memburukkan lagi keadaan, terutamanya jika kecederaan melibatkan anggota yang besar.

JIKA IA MULA MENGGELEMBUNG

Selepas beberapa hari, mungkin kawasan kemerahan ini akan mula surut dan mungkin ada yang akan menggelembung atau melepuh. Menurut Baby Center, apa yang perlu anda lakukan adalah menyapukan kawasan ini dengan ubat antiseptik dan balutkan dengan non-stick bandage secara longgar.

Ingat, jangan sesekali cuba memecahkan gelembung ini kerana ia boleh menyebabkan jangkitan yang lebih teruk. Elakkan daripada menyapukan losyen, bedak, atau sebarang petua lain yang tidak diketahui keberkesannya kerana ia turut berisiko kepada jangkitan.

JANGAN TERAGAK-AGAK BERJUMPA DOKTOR

Kesan melecur ringan biasanya boleh sembuh dalam masa 1 hari hingga beberapa minggu, bergantung kepada keadaan lecuran tersebut.

Sekiranya anda perhatikan kawasan tercedera semakin sakit, bengkak, menjadi bertambah merah, berbau, atau semakin merebak, jangan lengah untuk mendapatkan rawatan doktor kerana ia barangkali tanda jangkitan.


No comments:

Post a Comment