UKIRAN HALUS PARANG BAJAU SAMA
Ukiran halus parang bajau sama kota belud merupakan harta tinggalan nenek moyang suku kaum Bajau yang tidak terhingga nilainya. Nilai Estetika pada motif dan ukiran yang ditunjukkan pada sarung dan hulu parang menunjukkan betapa suku kaum Bajau Kota Belud mempunyai nilai cara hidup yang penuh dengan kesenian dan estetika peradaban pada masa dahulu. Namun kini, nilai dan seni yang ditinggalkan dijadikan sumber bagi generasi pelapis yang baru dalam penghasilan produk kraftangan berasaskan senjata yang tinggi nilai kualiti dan harganya.
Produk krafttangan Parang Bajau Sama merupakan produk kraf warisan yang sememangnya mendapat sambutan yang amat baik bukan sahaja dalam pasaran tempatan malah di peringkat nasional dan antarabangsa. Setiap produk Parang yang dihasilkan mempunyai ciri-ciri dan ukiran tersendiri. Setiap ukiran melambangkan budaya dan corak kehidupan suku kaum Bajau Sama contohnya motif Serimpak pada hujung Sarung Parang dan pada hulu parang.
Serimpak merupakan alat perhiasan kepala yang dipakai oleh pengantin perempuan semasa majlis persandingan diadakan di setiap majlis perkahwinan suku kaum bajau.
Selain itu terdapat banyak motif dan ciri-ciri pada ukiran Parang Bajau melambangkan kepelbagaian dan keunikan suku kaum Bajau Sama. Motif alam semulajadi seperti buah Cili bagi produk Parang Bajau Lada-Lada dan selain itu terdapat unsur-unsur alam lain yang digunakan.
Terdapat pelbagai jenis parang Bajau sama yang dihasilkan dan masih terdapat pada masa sekarang termasuklah Parang Bajau Barung, Pidah, Lada-lada, Pedang Bajau, Gayang, Kegayaan, Sabit Bajau, Beladau, Pais dan Pedang samurai dan Keris motif Bajau Sama.
Penghasilan sarung dan hulu kayu sering menggunakan beberapa jenis kayu. Bergantung kepada permintaan pasaran. Kayu Malam dan Rengas merupakan bahan kayu yang sering mendapat permintahan tinggi dan menonjol penghasilanya. Selain itu kayu Nangka, Akasia, Nyire (Kayu Tambu-Tambu) dan beberapa jenis kayu lain turut digunakan. Manakalah besi spring kereta digunakan dalam penghasilan mata dan badan parang Bajau Sama.
Setiap Parang Bajau yang dihasilkan mempunyai kegunaan masing-masing. Parang Bajau jenis Lada-Lada, Beladau dan Pidah@ Barung contohnya digunakan untuk aktiviti penyembelihan binatang korban seperti lembu, kerbau, kambing, ayam dan sebagainya. Badi Rumput pula digunakan untuk aktiviti membersihkan kawasan berumput,, Badi Guuk selalunya digunakan bagi kerja-kerja yang memotong tulang binatang, kayu keras dan ikan. Parang Bajau seperti Beladau, Gayang, Pedang dan Kegayaan digunakan pada zaman dahulu sebagai alat untuk mempertahankan diri selain sebagai lambang kekuatan si pemakainya. Keris pula digunakan untuk majlis-majlis rasmi seperti majlis perkahwinan, majlis berkhatan dan untuk tujuan perawatan bagi pesakit yang dikatakan terkena penyakit sihir, ilmu hitam, jin dan syaitan.
Taburan pengusaha yang membuat produk ukiran halus parang Bajau Sama pula lebih ramai di kawasan pinggir bandar Kota Belud iaitu di Kampung Siasai Jaya, Siasai Tamu, Siasai Kompang dan Siasai Dundau. Dianggarkan terdapat seramai 50 hingga 80 orang pengusaha Parang Bajau sepenuh masa di kawasan ini.
Tuan Haji Ebin Bin Adim (69 Tahun) dari Kampung Siasai Kompang telah berkecimpung dengan perusahaan pembuatan Parang sejak berumur 16 tahun dan menjalankan perusahaan ini sejak 53 tahun yang lepas sehingga sekarang. Beliau merupakan salah seorang tokoh kraf Parang Bajau yang mewarisi ilmu tersebut daripada bapanya dan sekarang diturunkan kepada anak dan cucu.
SEJARAH PEMBUATAN PARANG KOTA BELUD
Artikel ini dipetik daripada Akhbar Kosmo
PERCIKAN api menyambar mata parang yang
dipegang Ebin Adim seraya lelaki itu memasukkan senjata tersebut ke dalam
timbunan bara di hadapannya.
Sambil duduk bertinggung tanpa menghiraukan
bahang yang menggigit kulitnya, lelaki berusia 77 tahun itu mengambus parang tadi
selama beberapa minit sebelum mengeluarkannya semula.
Mengerah segala kudrat tuanya yang masih
bersisa, besi panas dan berwarna kemerah-merahan itu diketuk beberapa kali
dengan tukul bagi mendapatkan bentuk parang yang diingini.
“Proses menempa ini sangat penting supaya
besi jadi padat sekali gus membuatkan ia tajam serta lebih berkualiti,” ujar
Ebin.
Dia yang ditemui kru Jurnal di Kampung Siasai
Jaya, Kota Belud, Sabah ketika lawatan media anjuran Kraftangan Malaysia
baru-baru ini memberitahu, selepas siap ditempa, permukaan mata parang
kemudiannya akan diratakan menggunakan mesin gerinda.
Ebin yang telah menghasilkan parang
tradisional suku kaum Bajau sejak tahun 1957 berkata, besi untuk membuat mata
parang menggunakan besi spring kereta yang boleh dibeli dengan mudah di
pusat-pusat pengumpulan besi buruk.
“Dahulu, besi rel kereta api digunakan dalam
pembuatan senjata ini, namun selepas agak sukar didapati, rata-rata pembuat
parang di sini beralih kepada besi ini kerana ia tahan lama,” katanya. Dia yang
mempelajari seni pembuatan senjata logam itu ketika berusia 19 tahun
memberitahu, minat untuk membuat parang timbul selepas melihat datuknya
menghasilkan senjata tersebut.
“Parang sangat sinonim dan digunakan secara
meluas dalam kegunaan harian masyarakat Bajau suatu ketika dahulu.
“Selain digunakan untuk melapah daging
haiwan, ia juga dijadikan senjata bagi mempertahankan diri daripada ancaman dan
serangan,” jelas bapa kepada tujuh orang anak itu.
Ebin memberitahu, proses pembuatan mata
parang mengambil masa kira-kira dua jam untuk disiapkan.
Parang makan tuan
Dia yang pernah menerima Anugerah Tukang
Ulung sempena Hari Kraf Kebangsaan 2012 berkata, berdasarkan kepercayaan
masyarakat terdahulu, pembuatan parang Bajau ada pantang larang yang perlu
dipatuhi.
“Datuk pernah berpesan parang ini tidak boleh
dilangkah kerana ia dipercayai boleh memakan tuan. Maksudnya, jika pantang ini
dilanggar, individu berkenaan akan mengalami kecederaan ketika melakukan
sebarang kerja.
“Selain itu, ketukan yang pertama ketika
proses menempa perlu dimulakan dengan bacaan Bismillah bagi menjauhkan
benda-benda halus,” kongsi Ebin.
Seorang lagi pembuat parang Bajau, Jamawid
Soh, 45, berkata, keunikan senjata itu bukan sahaja terletak pada bentuknya,
malah turut dipengaruhi kehalusan seni pembuatannya, khususnya ukiran pada
mata, sarung dan hulu parang.
Menurutnya, mata parang biasanya diukir
dengan ukiran bermotifkan daun paku pakis yang dipanggil corak ‘bajau’ bagi
memberi identiti kepada senjata tradisional masyarakat Bajau itu.
“Corak ini diukir secara manual dengan
menggunakan pahat besi dan tukul. Kerja memahat ini agak rumit dan memakan masa
kerana memerlukan ketelitian serta kesabaran yang tinggi dalam menghasilkan
corak yang diingini,” katanya.
Jamawid yang mempelajari seni membuat parang
daripada abangnya ketika berusia 12 tahun berkata, setiap ukiran yang
dihasilkan memiliki nilai sejarah yang tinggi kerana diwarisi sejak
turun-temurun.
Kata Adiguru Kraf 2012 itu, ukiran turut
dibuat pada sarung parang yang lazimnya dihasilkan daripada kayu malam, kari
hutan, getis, baruk, akasia dan rengas.
“Kayu-kayu ini akan dikorek pada bahagian
dalamnya mengikut saiz parang dan kemudian dua lapisan kayu tersebut akan
dicantum menggunakan gam bagi membentuk sarung.
“Biasanya lebar sarung kira-kira 5 sentimeter
lebih besar daripada parang bagi membolehkan ia disimpan dengan baik.
“Setelah itu, bahagian luarnya akan diukir
mengikut motif tertentu sebelum digosok dengan kertas pasir dan disapu dengan bahan
pengilat,” jelas Jamawid panjang lebar.
Tambahnya, terdapat beberapa jenis parang
Bajau antaranya barong, gayang, pidah, dayang, kagayan dan samurai.
“Apa yang membezakan parang-parang ini ialah
fungsi serta kegunaannya. Parang dayang dan pidah misalnya digunakan dalam
aktiviti harian seperti melapah daging haiwan, barong pula digunakan ketika
perang, manakala samurai biasanya untuk perhiasan,” ujarnya.
Artikel Dari
Kosmo.
Salam sejahtera, saya Suhana Ali, editor untuk buku Pendidikan Seni Visual yang diterbitkan untuk Kementerian Pendidikan Malaysia ingin memohon kebenaran menggunakan gambar/foto/karya yang terdapat dalam blog tuan/puan. Sila hubungi saya di emel annsu1144@gmail.com untuk maklumat lanjut.
ReplyDelete