Tuesday, November 14, 2017

CARA MENGHILANGKAN KETUMBIT KANAK-KANAK DAN DEWASA



CARA MENGHILANGKAN KETUMBIT KANAK-KANAK DAN DEWASA

Ketumbit merupakan jangkitan pada pinggir kelopak mata yang mengakibatkan bisul kecil yang berkembang pada bahagian tersebut. Ketumbit boleh dibahagikan kepada ketumbit luaran, iaitu apabila jangkitan berlaku pada folikel-folikel yang terdapat pada bulu mata, atau ketumbit dalaman, iaitu apabila jangkitan berlaku pada kelenjar minyak yang terdapat pada kelopak mata.

Ketumbit kebiasaannya terjadi pada kanak-kanak. Walau bagaimanapun, orang dewasa juga berkemungkinan untuk mendapat ketumbit, bergantung kepada tahap penjagaan mata mereka.

PENYEBAB

Ketumbit adalah disebabkan oleh kelenjar minyak yang terletak berhampiran dengan kelopak mata menjadi tersumbat. Kelenjar minyak yang telah tersumbat ini kebiasaannya akan dijangkiti oleh bakteria seperti bakteria Staphylococcus aureus. Penghasilan atau pengumpulan minyak yang berlebihan menyediakan keadaan yang sesuai untuk pembiakan bakteria. Antara faktor-faktor yang boleh menyebabkan kelenjar minyak tersumbat ialah

o  Tekanan
o  Pertukaran hormon
o  Mengguna peralatan solek yang sama buat satu jangka masa yang lama atau yang telah dijangkiti oleh bacteria
o  Diabetis
o  Kandungan lemak yang tinggi dalam badan
o  Kekurangan vitamin dalam badan

Berikut adalah cara menghilangkan ketumbit yang boleh dicuba:

BERSIHKAN
Langkah pertama yang boleh anda lakukan apabila terkena ketumbit adalah dengan membersihkan bahagian kelopak mata dengan kerap menggunakan air bersih. Untuk penjagaan kebersihan yang lebih rapi, anda boleh menggunakan putik kapas dan ‘mild shampoo’ seperti syampu bayi yang tidak memedihkan untuk membersihkan kelopak mata anda dan bahagian bulu mata sekitarnya.

TUAMAN PANAS
Cara paling selamat dan berkesan untuk melegakan ketumbit adalah dengan tuaman air yang sederhana panas. Cara ini juga amat sesuai untuk kanak-kanak dan juga bayi.
Rendamkan kain dalam air suam dan kompreskan pada kelopak mata yang terkena ketumbit tadi untuk mengatasi penyumbatan pada kelenjar di kelopak mata. Ulangi langkah ini sebanyak tiga kali sehari selama seminggu. Pastikan kain yang anda gunakan bersih ya.

SUDU
Selain menggunakan tuaman air panas tadi, anda juga boleh menggunakan sudu untuk dituam pada mata. Caranya, rendamkan sudu tadi dalam air suam dan rasa kepanasannya agar tidak terlalu panas. Agak-agak selesa, bolehlah dituamkan pada bahagian mata yang terkena ketumbit tadi. Tuamkan sekitar 3 minit setiap kali.

UNCANG TEH HIJAU
Selain menuam dengan air panas, anda boleh cuba menuam mata dengan uncang teh hijau. Selain melegakan rasa tidak selesa, teh hijau mengandungi asid tanik yang membantu melindungi daripada jangkitan.

Caranya, rendamkan uncang teh hijau ke dalam air panas. Selepas 5 minit, angkat dan keluarkan lebihan air pada uncang teh. Jika ia terlalu panas, tunggu sebentar sebelum meletakkannya pada mata. Bila suhunya sesuai, biarkan pada mata selama 5 minit. Lakukan beberapa kali sehari.

DAUN SIRIH
Ambil beberapa helai daun sirih dan bersihkan. Kemudian, panaskan sedikit di atas api atau badan cerek dan tekapkan pada mata ketumbit.

Satu lagi cara, rebuskan daun sirih hingga mendidih. Angkat daun sirih tersebut dan perah untuk mendapatkan airnya. Guna air perahan ini untuk membersihkan mata yang ketumbit.

GARAM
Satu lagi petua yang dikatakan dapat menyurutkan ketumbit dengan cepat adalah dengan menambahkan garam pada tuaman. Mudah saja, bubuhkan sedikit garam pada air panas / suam yang akan digunakan untuk tuaman. Selepas ia melarut, celupkan tuala bersih dan perah airnya. Boleh juga gunakan kapas. Tuamkan 2-3 minit pada ketumbit. Lakukan 3 atau 4 kali sehari.

CUKA EPAL
Selain garam, anda boleh juga cuba menggunakan cuka epal (apple cider vinegar) dengan cara yang sama. Namun, elak menggunakan cuka kepada kanak-kanak kerana ia agak ‘kuat’. Pastikan cuka epal ini dilarutkan terlebih dahulu supaya asidnya tidak terlalu kuat. Selain itu, bagi orang dewasa, anda boleh meminum sesudu cuka epal yang dilarutkan dalam air suam untuk mendapatkan hasil yang lebih berkesan.


BAWANG PUTIH
Antara cara menghilangkan ketumbit paling popular di kalangan orang lama adalah menggunakan bawang putih kerana ia dipercayai mengandungi ciri anti radang. Namun, cara ini akan memedihkan sedikit. Maka, tidak sesuai kalau dilakukan pada kanak-kanak.


Caranya, ambil seulas bawang putih dan guris sedikit bahagian hujungnya dengan pisau agar keluar jusnya. Sapukan pada kelopak mata yang berketumbit sebanyak 3 kali sehari. Ia dikatakan berkesan sekiranya bengkak ketumbit baru nak ‘naik’ dan belum membesar. Apa pun, berhati-hatilah dan pastikan kebersihan tetap diutamakan.

No comments:

Post a Comment