Showing posts with label KRAFTANGAN. Show all posts
Showing posts with label KRAFTANGAN. Show all posts

Wednesday, July 19, 2017

ANYAMAN RIBU RIBU KUDAT SABAH

RIBU-RIBU atau nama saintifiknya Lygodium tergolong dalam famili paku pakis, tumbuh menjalar di kawasan terbiar, hutan-hutan muda, kebun kelapa atau kebun getah yang tidak diusahakan lagi. 

Ribu-ribu jarang sekali dikenali masyarakat umum, kecuali dikalangan pencipta kraf, para penyelidik serta pakar perhutanan dan botani. Namun demikian, penggunaannya amat meluas di zaman silam terutama dalam kehidupan seharian orang-orang Melayu terutama di Kelantan dan Terengganu.

Secara tradisi, anyaman ribu-ribu di Semenanjung biasanya terdapat pada terendak, bekas tembakau, serkap ikan, penahan ikan sawah serta jebak puyuh. Penutup rabung rumah Melayu di Terengganu turut menggunakan ribu-ribu biasa yang dijalin antara kepingan bilahan buluh.

Kini penggunaan ribu-ribu di Semenanjung telah mula berkurangan berbanding dengan negeri Sabah yang masih giat menjalankan warisan ini. Anyaman ribu-ribu atau dikenali dengan panggilan Rinago di sabah masih diusahakan secara turun temurun oleh suku kaum Rungus terutama di daerah Kudat. Kini kemahiran ini telah mula menular kepada kaum asli Sabah yang lain. Ribu-ribu yang biasa digunakan oleh kaum ini ialah jenis sederhana dan halus.


CARA MEMPROSES RIBU-RIBU

Batang ribu-ribu serta akarnya dicabut. Daun-daun dan bahagian hujung (pucuk) nya dipotong. Ribu-ribu dibelah sedikit dengan pisau kepada dua atau tiga bahagian mengikut ukuran. 

Belahan dimulakan daripada hujung hingga ke pangkal. Seterusnya belahan dibuat dengan hanya menggunakan ibu jari. Benda tajam seperti pisau adalah tidak sesuai kerana akan menyebabkan belahan tidak seimbang, mudah putus dan rosak. 

Setelah belahan hampir kehujung atau pangkal, empulur akan ditarik keluar. Ribu-ribu kemudian digantung dan dijemur di tempat yang teduh hingga kering. 

Ribu-ribu yang terlalu kering akan mengakibatkan kulit ribu-ribu menjadi kecut dan mudah patah bila dianyam. Ia juga perlu dielakkan daripada terkena air sebelum digunakan agar ia tidak mudah bertukar kepada warna hitam. 





Ribu-ribu yang telah kering seterusnya diraut dengan pisau. 






 



Helaian ribu-ribu kemudian dijangka mengikut saiz yang dikehendaki dengan memasukkannya melalui lubang tudung tin yang ditebuk.





ALAT-ALAT UNTUK MENGANYAM RIBU-RIBU

Beberapa peralatan perlu disediakan terlebih dahulu.




Penyucuk ais yang kecil alat yang panjangnya lebih kurang tiga inci ini digunakan untuk menjalin ribu-ribu.



 

Tin digunakan sebagai penghalus bilah ribu ribu






Rotan empulur digunakan sebagai bahan lingkaran atau bingkai asas bagi menjalin ribu-ribu mengikut bentuk dikehendaki.


 


Pengetip kuku digunakan untuk memotong dan memperkemaskan lebihan ribu-ribu yang dijalin.





PROSES ANYAMAN


Rotan empulur atau bemban diraut dengan pisau dan kemudian dibasahkan sedikit untuk melembutkannya.



Ribu-ribu disimpulkan sedikit dan seterusnya dijalin pada rotan empulur. Jalinan seterusnya dibuat mengikut lingkaran rotan dengan menggunakan penyucuk ais. Sementara itu, lebihan ribu-ribu pula dipotong menggunakan pengetip kuku. Jalinan atau ikatan lilitan dibuat dengan kemas dan teliti sehinggalah barangan siap.



Kegunaan Ribu-Ribu



Secara tradisi, ribu-ribu asli digunakan tanpa sebarang pewarna. Namun demikian, ribu-ribu kini telah dicelup pewarna untuk membentuk pelbagai corak dan warna yang menarik pada barangan ribu-ribu. Kraf Rinago atau ribu-ribu pada asalnya digunakan oleh kam Rungus di Sabah sebagai bekas penyimpan bahan-bahan untuk ubat-ubatan tadisional. 

Melalui pengubahsuaian pelbagai bentuk, kraf ribu-ribu kini tampil dengan berwajah baru. Penggunaannya juga turut meluas, tidak lagi sekadar bekas serbaguna, bekas barang kemas atau tepak sirih tetapi juga turut dijadikan sebagai perhiasan, bekas buah, pasu bunga dan sebagainya.




PEMBUATAN GONG KG SUMANGKAP KUDAT SABAH

PEMBUATAN GONG KG SUMANGKAP KUDAT SABAH
INDUSTRI DESA DI BAWAH PROJEK SATU DAERAH SATU INDUSTRI KRAF (SDSI)



Kg Sumangkap Kudat merupakan desa yang terletak di Daerah Kecil Matunggong, Kudat Sabah iaitu kira kira  160km dari Kota Kinabalu Sabah dan 35km dari Bandar Kudat, Sabah.




Majoriti penduduk adalah dari Suku Kaum Rungus dan menjalankan sumber ekonomi menghasilkan produk kraf berasaskan gong, bertani dan lain lain pekerjaan.
 

Kampung Sumangkap amat terkenal bagi penggemar produk kraf berasaskan Gong, kerana di kampung ini terdapat seramai kira kira 35 orang pengusaha kraf aktif menghasilkan produk gong secara sepenuh masa dan menjadikan industri ini sebagai sumber pendapatan utama.


Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia sebagai peneraju kraf Malaysia telah membantu usahawan di Kampung ini dari segi bantuan peralatan, bahan dan promosi. Manakalah agensi negeri di bawah Kementerian Luar Bandar (KPLB) pula menyediakan prasarana bengkel pengusaha. Selain dua agensi ini terdapat juga bantuan daripada agensi lain seperti Sabah Tourism Board, Pejabat Daerah Kecil Matunggong dan lain lain agensi dan pihak swasta.


Agensi Pelancongan turut merancakkan aktiviti penghasilan kraf di Kampung Sumangkap apabila bas bas pelancong hamper setiap hari datang melawat Kampung ini. Boleh dikatakan Kampung Sumangkap telah menjadi salah satu nadi penggerak aktiviti Pelancongan di Daerah Kudat selain adanya Simpang Mengayau dan lain lain aktiviti pelancongan di Daerah ini.

Terdapat Gong terbesar di Kampung ini yang telah dibina oleh Mendiang Raimond angkap pada tahun 2007. Berukuran kira kira 18 kaki, dibina menggunakan kepingan zink sebanyak 50 unit. Bersesuaian dengan sambutan hari Kemerdekaan yang ke 50 pada tahun tersebut. Walaubagaimanapun Gong ini belum diiktiraf oleh Malaysian dan World Book Of Record sebagai Gog terbesar di Malaysia dan Dunia.


Pemimpin pemimpin negara turut melawat Kg Sumangkap dia nataranya ialah Menteri Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Datu Seri Mohammed Nazri Aziz dan lain lain lagi.


Lawatan Menteri Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia

SERAMIK KURON KG MALANGKAP KAPA KOTA BELUD

SERAMIK KURON KG MALANGKAP KAPA KOTA BELUD

Apakah Kuron ?


 

Tembikar asli (Lanjang) suku kaum Kadazandusun di Sabah yang diperbuat daripada tanah liat (Lagit) dan digunakan sebagai bekas memasak nasi, lauk pauk dan herba ubat-ubatan tradisional.

Pembuatan kuron ini berasal dan tinggal di Kg. Melangkap, Kota Belud yang terletak di pinggir Gunung Kinabalu. Tanah liat diperoleh dari tebing sungai Kiliposu. Tanah liat jenis ini berwarna kelabu.


SEJARAH KURON

Di Sabah, penghasilan kraftangan seperti kuron di kalangan masyarakat asli di Sabah bermula dalam usaha mereka untuk memenuhi keperluan harian. Mereka menghasilkan pelbagai bahan yang banyak dengan tumpuan lebih kepada fungsinya dan kurang memberi perhatian kepada perhiasannya. Pembuatan tembikar asli dengan motif yang mudah memandangkan fungsinya lebih lazim sebagai bahan utilitarian. Misalnya, kuron dipakai untuk memasak nasi, lauk-pauk dan ubat-ubatan tradisional. Selain itu, penghasilan kraf mereka juga bergantung pada sumber alam sekitar dan keperluan dari segi budaya.

Masyarakat Kadazandusun (Lotud dan Bundu) serta Bajau/Sama (Kota Belud dan Semporna) adalah antara masyarakat yang masih menghasilkan tembikar asli tempatan di Sabah. Walau bagaimanapun, tembikar jenis ini amatlah jarang ditemui dan kurang diusahakan sekarang. Tembikar keluaran kontemporari yang lebih murah dan lebih lasak, serta mudah diperolehi di Sabah telah lebih diminati dan digunakan oleh masyarakat ini. Tambahan pula penyediaan tembikar tradisional memerlukan masa yang lebih panjang.

Pantang Larang Dalam Pembuatan Kuron.

Penghasilan tembikar tradisional lebih dikaitkan dengan kepercayaan sama ada membuat atau selepas bahan siap dibentuk. Bagi mendapatkan hasil yang baik serta mengelakkan daripada bala atau malapetaka berlaku semasa dan selepas mengutip bahan tanah liat, persembahan jampi mentera lazimnya dilafazkan dan sajian dipersembahankan kepada penghuni tempat pengambilan bahan tanah liat. Jika ritual ini tidak dilakukan besar kemungkinan akan membawa penyakit atau bencana yang lain. Pada masa yang sama, jika keluarga kebetulan sakit serentak pada masa penyediaan, semua kerja-kerja pembuatan akan dihentikan sehingga keadaan mengizinkan.

Pembuat Kuron.

Lazimnya, pembuat kuron terdiri daripada kaum wanita, walaupun kadangkala kaum lelaki akan mengutip tanah liat dari lapangan.

Proses Pembuatan Kuron.

 
1. Tanah liat lazimnya diambil dari tebing sungai.

2. Tanah liat dibersihkan dan diasingkan dari benda asing atau batuan dengan cara picitan.

3. Tanah liat dibentuk menjadi seperti kon (merupai tin).


4. Bahagian tengah tanah liat ditebuk dengan menggunakan wawaron (batang kayu yang diperbuat dari kayu keras). Wawaron kemudiannya menekankan dinding lubang yang bertujuan membesarkannya.

5. Bahagian luar pula diketuk dengan lalabi (batang leper yang diperbuat
daripada bambu).

6. Bahagian luar dipalu bertalu-talu secara perlahan-lahan, manakala di bahagian dalam dilapiskan dengan tuliyo (batu sungai yang berbentuk bulat) untuk membentuk touwou (dasar) dan tinan (badan) kuron.

7. Proses pembentukan sinaringsaring (leher), bahagian hujung tinan dibasahka kemudian disambungkan/ditambah tanah liat dan dibentuk dengan menggunakan lalabi dan tuliyo. Sepanjang proses ini, tanah liat ditambah sedikit demi sedikit untuk menutupi keretakan.

8. Membentuk kabang (mulut) kuron, menggunakan lalabi dan belakang tapak tangan, Sambungan/panjangan daripada sinaringsaring. Sepanjang proses ini, air dicurah sedikit demi sedikit.

9. Kuron dijemur untuk mengeraskan kuron yang lembap kerana proses pembuatan kabang.

10. Kuron diratakan dengan jari dan tanah liat ditambah, sekiranya terdapat lubang atau retakan.

11. Proses menghias/mencorak kuron. Sebatang kayu yang diukir geometrik akan dilekapkan pada badan kuron untuk menghasilkan hiasan/corak.

12. Proses pembuatan sompon (penutup kuron), tanah liat yang telah dibersihkan, dibentuk seakan bulat dan kemudian dileperkan.

13. Tanah liat yang telah dileperkan, diletakkan di atas dasar kuron (kuron diterbalikkan) dan ditekan secara perlahan-lahan. Ini untuk mendapatkan lengkungan penutup.Kemudian dibentuk pemegang sompon.

14. Kuron dan sompon dijemur di bawah matahari sehingga kering dan keras, iaitu warna menjadi keputihan.

15. Kuron dan sompon dibakar dengan pelepah kelapa selama lebih kurang 1 jam sehingga warna kuron menjadi kemerah-merahan.

16. Selesai proses pembakaran, kuron dibiarkan sehingga sejuk dan selepas itu kuron sedia untuk digunakan.



Latar Belakang Pengusaha Seramik Kuron




Puan Kontiam Sitan merupakan anak kepada mendiang Somotoi Lugu iaitu seorang tokoh kraf etnik seramik Kuron dari suku kaum etnik kadazandusun Sabah yang telah meninggal dunia pada awal bulan September 2004.

Beliau merupakan satu-satunya pewaris selepas kematian ibunya yang tahu membuat produk Seramik Kuron di kampung Melangkap Kapa, Kota Belud, dimana produk warisan seramik ini ditemui dan dihasilkan.

Puan Kontiam dilahir dan dibesarkan di Kampung Melangkap Kapa, Kota Belud, dan merupakan seorang surirumah sepenuhmasa selain membantu suaminya mengusahakan ladang pertanian.


Puan Kontiam hanya akan membuat seramik Kuron sekiranya mendapat tempahan dari penduduk kampungnya dan beberapa buah kampung sekitar. Melihat kepada masa depan Kuron yang semakin ditelan zaman, Puan Kontiam kini sedikit sebanyak telah mula menurunkan ilmu pembuatan Kuron kepada anaknya iaitu Puan Samsiah Bt Soupi. Beliau berharap agar anaknya akan terus mewarisi tradisi nenek moyang dalam pembuatan seramik Kuron.