Saturday, October 23, 2021

KHASIAT BONGLAI UNTUK KESIHATAN

Bonglai, bonglai kayu, bolai kayu, kulai, merkulai, bol, boloi, bikir, bekak, merulai, atau pokok biji lunang ialah sejenis tumbuhan yang terdapat di hutan Malaysia serta di negara-negara ASEAN yang lain. Nama saintifiknya Oroxylum indicum Vent. Pucuk dan buah muda bonglai boleh dibuat ulam dengan mencelurkannya dahulu kemudian dimakan dengan sambal belacan, budu, cencaluk dan pencecah yang lain. Buahnya boleh dibuat kerabu. Daunnya berasa sedikit kelat dan pedas.


Pokok sederhana besar setinggi 20 m, tidak banyak dahan. Daun majmuk, sederhana besar, anak daun dengan ukuran lebar yang hampir sama, bertangkai pendek, bentuk lonjong, pucuk muda berwarna hijau kekuningan dan bertukar hijau tua setelah matang. Bunga majmuk, sederhana besar, berbentuk corong, putih kekuningan, berbau busuk, terdapat dalam jambak bunga yang keluar di hujung dahan. Buah besar, panjang meleper, sedikit bengkok dan berjuntai. Biji kecil, banyak terkandung dalam buah, sangat nipis, putih.


MENGATASI SAKIT DEMAM

Pengamal perubatan tradisional menggunakan bahagian rizom yang dipercayai dapat membantu untuk mengatasi sakit demam, sakit kepala, batuk berkahak, angin dalam perut, sembelit, sakit kuning, penyakit cacing dan reumatisme (penyakit yg dicirikan oleh radang dan rasa sakit, terutamanya pada otot dan sendi).Bonglai juga digunakan sebagai ramuan jamu selepas bersalin serta mengatasi masalah kegemukan. Bahagian daunnya pula digunakan untuk mengatasi masalah kurang selera makan dan perut sebu.


MENGATASI KEGEMUKAN

Bagi mengatasi masalah kegemukan, ambil rizom bonglai dan temu lawak masing-masing sebesar ibu jari, dicuci dan diparut halus. Tambahkan satu sudu makan air perahan limau nipis dan dua sudu makan madu. Kemudian gaul sebati, perah dan tapis. Air perahan tersebut boleh diminum 2-3 kali sehari.


MENGHINDARI MAKHLUK HALUS

Di Indonesia, masyarakatnya menggunakan bonglai sebagai tangkal bagi menghindari gangguan makhluk halus, terutamanya bagi bayi yang baru lahir. Untuk menenangkan bayi dan anak yang sering menangis pada waktu malam, parutan bonglai segar disapukan pada kening dan badan anak.


ANTI KERADANGAN

Daripada kajian makmal, bonglai didapati mengandungi bahan seperti analgesik, antineuralgik, antikeradangan, antiseptik, antipasmodik, antitoksik, antivirus, karminatif pencernaan, diuretik, fabrifuj, laksatif, rubefasien rangsangan, stomakik, tonik dan vermifuj.


MINYAK URUT

Di Thailand, bonglai dijadikan minyak untuk aromaterapi dan juga sebagai campuran minyak urut. Minyak ini juga dikatakan mampu mengatasi masalah otot.


No comments:

Post a Comment