Kaki Bengkak (Swollen Feet) - Apakah Penyebab Kesakitan Dan Cara Mengatasinya
Kaki yang bengkak terjadi secara amnya melalui dua proses dan terdapat banyak penyakit dan kondisi yang boleh menyebabkan kaki bengkak melalui salah satu proses tersebut. Di bawah adalah penerangan tentang kenapa terjadinya kaki yang bengkak
Radang. Proses radang di tisu kaki boleh membawa kepada kaki yang bengkak. Kadang-kala, ia boleh membawa kepada bengkak si satu belah sahaja kerana proses radang ini hanya membabitkan sebahagian kaki sahaja. Antara punca terjadinya radang di tisu kaki adalah jangkitan kuman atau terputus tendon. Proses radang juga boleh menyebabkan rasa sakit.
Pengumpulan air yang berlebihan: Terdapat penyakit yang menyebabkan penahanan air di dalam saluran darah atau tisu di belah kaki lebih dari kebiasaannya. Apabila terlalu banyak air, bengkak ini akan lebih jelas terlihat selepas berdiri atau duduk terlalu lama atau memakai stokin yang ketat.
Apakah Penyebab Kaki Bengkak?
Kegagalan jantung/”congestive heart failure”:
Kegagalan jantung merupakan keadaan di mana jantung tidak dapat menjalankan tugasnya untuk mengepam darah ke seluruh badan dengan berkesan. Apabila jantung lemah, kecekapan mengepam darah boleh membawa kepada masalah air terkumpul secara berlebihan dan ini selalunya terlihat di kaki. Jika jantung menjadi semakin lemah, air yang berlebihan juga boleh berkumpul di paru-paru dan membawa kepada cepat berasa penat, sesak nafas dan batuk. Antara orang yang berisiko tinggi menghadapi “heart failure” adalah mereka yang mempunyai tekanan darah tinggi, gangguan denyutan jantung seperti “atrial fibrillation” dan sejarah serangan jantung.
Penyakit buah pinggang:
Buah pinggang merupakan organ paling utama yang terbabit dalam menyingkirkan air berlebihan di dalam badan. Apabila darah dipam dari jantung ke buah pinggang, selain dari bahan-bahan kimia yang tidak diperlukan, buah pinggang juga membuang air yang berlebihan dalam saluran darah. Air yang berlebihan ini dan bahan-bahan buangan lain inilah yang membentuk air kencing. Banyak penyakit boleh menghindari buah pinggang daripada berfungsi seperti diabetes, jangkitan kuman, sindrom “nephrotic” dan penggunaan beberapa jenis ubat.
Hamil:
Wanita yang mengandung juga mungkin mengalami masalah bengkak kaki kerana tekanan yang tinggi yang diberi oleh bayi atas saluran darah membuat pergerakan darah kurang cekap dan ini membawa kepada pengumpulan air.
Sindrom “Deep Vein Thrombosis” (DVT):
Ini adalah sindrom di mana terdapat darah beku dalam saluran darah membawa darah dari seluruh pelosok badan pulang ke jantung. Apabila darah beku ini berlaku dalam saluran darah di kaki, ia boleh membawa kepada kaki yang bengkak di sebelah yang terbabit. Selain dari kaki bengkak, anda juga mungkin berasa sakit di belakang kaki terutama sekali apabila dipicit, kaki berasa panas dan berwarna merah. Mereka yang berisiko mendapat DVT adalah orang yang mengguna pil perancang, mempunyai ahli keluarga yang mendapat DVT, kanser, perokok dan tidak bergerak dalam jangka masa yang panjang seperti berada di atas kapal terbang dan terlantar di atas katil. Bahayanya DVT ialah apabila darah beku ini dibawa ke paru-paru dan boleh membawa kepada kematian.
Jangkitan kulit/”cellulitis”:
Jangkitan lapisan kulit di kaki adalah punca bengkak kaki. Gejala yang berkaitan bagi mereka yang menghidapi jangkitan termasuk demam, rasa lemah dan kulit yang merah dan panas. Jangkitan kulit lebih mudah terjadi bagi mereka yang mempunyai luka di kaki.
Gout:
“Gout” adalah penyakit yang melibatkan pengumpulan kristal di sendi dan kebiasaannya menyebabkan radang di sendi jari kaki. Selain kaki bengkak, mereka yang menghidapi penyakit ini akan merasa amat sakit di kaki sehingga tidak boleh berjalan. Beberapa jenis makanan boleh menyebabkan “gout”.
Apakah Cara Mengatasinya?
Senarai di atas kebanyakannya penyakit yang memerlukan input dari doktor dan cara mengatasi bengkak kaki berbeza mengikut penyakit. Walaubagaimanapun terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk melegakan gejala bengkak kaki secara alami. Antara perkara tersebut termasuk:
Jika sedang dalam perjalanan yang panjang, jika anda yang memandu, berhenti memandu di kawasan rehat selang sejam jika boleh dan berjalan selama beberapa minit sebelum sambung memandu.
Jika berada di atas kapal terbang atau bas, pastikan anda tidak duduk sepanjang jalan dan mengambil masa untuk berjalan-jalan. Tetapi pastikan ia selamat untuk berjalan terlebih dahulu terutama dalam bas yang bergerak.
Apabila baring dan tidur, letak bantal di bawah kaki agar kaki berada di paras yang lebih tinggi dari jantung. Ini membantu darah mengalir dengan baik untuk pulang ke jantung.
“Compression stocking”: Ini merupakan stokin yang memberi tekanan kepada saluran darah. Hati-hati: Jangan mengguna stokin yang terlalu ketat. Silarujuk nasihat doktor sebelum mengguna stokin ini kerana jika anda terdapat penyakit arteri, memakai stokin ini boleh memudaratkan lagi keadaan.
No comments:
Post a Comment