Sunday, September 24, 2017

HIKMAH DISEBALIK KELAHIRAN


HIKMAH DISEBALIK KELAHIRAN

Untuk apa aku dilahirkan, adakah hanya kerana dilahirkan, tumbuh membesar, bermodalkan beberapa tahun kemudian mati. Adakah sekadar itu? Tidak mungkin, kerana haiwan juga sedemikian. Bagaimana mungkin manusia dan haiwan mempunyai tujuan hidup dan mati yang sama.

Aku mula mencari jawapan dengan mengenali dari mana asalku, dimana aku sekarang dan kemana halatujuku.

Berpandukan wahyu dan sabdaan, tahulah aku bahawa hakikat diriku bukanlah apa yang aku lihat pada rupa zahir ini, bentuk yang hanya lahir beberapa tahun yang lepas dengan anggota-anggota badan yang lengkap untuk menjadi kenderaan kepada diriku.

Hakikat diriku adalah suatu yang tak dapat kulihat, yang menunggang tubuh kasar ini selama berada didunia. Ia berada dalam jasadku. Ia-lah sebenarnya yang merasa, memandang dan mendengar. Itulah "roh" yang berasal dari alam arwah.  Roh itulah merupakan diriku yang sebenar.

Roh yang dahulunya pernah menyaksikan Allah ketika perjanjian "Alastu" diambil dari semua roh. Roh yang mendengar kalam Allah yang Maha Indah, roh yang memahami dan mengakui ketuhanan Allah lalu roh ini bercakap dengan Zat yang Menciptakannya "Bahkan, kami menyaksikan".

Roh yang tak diketahui bagaimana rupanya kerana ia menyaksikanNya bukan dengan bola mata, mendengar kalamNya bukan dengan gegendang telinga dan bercakap bukan dengan kotak suara dan mulut.

Roh itulah hakikat diriku. Roh yang diciptakan dari cahaya. Roh yang mempunyai pengalaman hebat melihat Robnya dan berdialog denganNya. Rupa-rupanya aku berasal dari roh yang sudah bermakrifat. Bermakna asal usul aku ialah "arif billah".

Apabila tiba masa yang dikehendaki Allah, aku berpindah ke alam yang lain, bernama alam rahim. Didalamnya aku di tiup(di install-kan) setelah kenderaan jasad ini benar-benar mampu dan siap untuk menanggung aku iaitu setelah ia berusia 4 bulan dalam kandungan ibu biologiku.

Setelah 9 bulan 10 hari, aku lahir didunia bersama kenderaanku yang tercipta dari tanah dan air ini. Roh-ku yang asalnya suci bersih bersifat cahaya nurani dan rohani, kini berpengalaman baru bersama tubuh baru, mempunyai elemen tanah yang bersifat fitrah pada waktu kelahirannya.

Cantuman cahaya dan tanah ini menyebabkan aku terlupa bahawa aku berasal dari alam yang tinggi. Bahkan ramai yang terlupa akan perjanjian yang telah termeterai dengan Allah.

Tika aku lahir didunia, telinga kananku diazankan dan telinga kiriku di iqamatkan, aku bertanya mana solatnya untuk azan dan iqamat ini? Rupanya ia ditundakan sehingga nyawaku bercerai dari jasadku, waktu kematianku, solat akan didirikan keatasku. Sebagai suatu mesej padaku bahawa kehidupan dunia amat singkat seperti pendeknya masa antara azan dan solat.

Tubuh badanku membesar dan membesar. Didalam tubuh jasad ini mempunyai nafsu dan beberapa sifat kehaiwanan. Benar-benar aku berada dalam ujian selama berada didunia. Aku memerlukan bapa rohani yang dapat menunjukkan jalan kepadaku untuk mengenal(makrifat) Robku, bapa rohani(mursyid, murobbi) yang boleh memupuk dan membersihkan jiwa, hati dan nafsuku,  Kerna kotornya perkara-perkara itu akan mengotorkan rohku.

Disini ramai manusia termasuk diriku terleka dan terbuai dengan nafsu dan alam dunia ini. Alpa terhadap tujuan dilahirkan disini. Tujuan hidupku disini ialah untuk menyucikan roh dan nafsu(jiwa) tersebut dari noda dan zulumat. Memberikan santapan rohani kepadanya seperti mana aku memberi makan kepada jasad zahir ini. Menjaga kesihatan roh seperti aku menjaga kesihatan badan. Demi untuk kembalikan kepada sifat asalnya iaitu bermakrifat kepada Allah.

Kecenderunganku di alam dunia sentiasa terpikat dengan kesempurnaan, kecantikan, keindahan dan kemerduan kerana pengalaman rohku itu sendiri dahulu pernah menyaksikan, mendengar dan berdialog kepada Allah Zat Yang Maha Indah dan Maha Cantik.

Amat rugi jika aku hanya membersih dan menjaga kenderaan saja dan mengabaikan diriku yang sebenar. Rohanilah yang lebih berhak diutamakan kerana itulah sebenarnya diriku. Mata rohani(basirah) wajib dicelikkan supaya sekali lagi dapat menyaksikan Allah (musyahadah), sepert

i mana ia pernah menyaksikan-Nya dialam arwah.

Allah tidak membiarkan manusia begitu sahaja, diutus para utusanNya dan Kitab-kitab suci mengingatkan manusia mengenai perjanjian Alastu dan perhisaban keatasnya kelak di akhirat. Mengingatkan mengapa kita berada disini dan apa tujuan akhirnya.

Apabila ajal tiba, roh ini akan dicabut dari jasad ini. Itulah maut yang pertama dan terakhir kalinya buatku. Maka terkulailah jasad yang ada mata tapi tiada boleh melihat, gegendang telinga yang tiada boleh mendengar, tangan dan kaki yang tiada mampu bergerak, kerana aku telah meninggalkannya.

Jasadku akan ditanam, dikembalikan ketempat asalnya iaitu tanah. Ia akan mereput dan hancur. Boleh jadi saja ia akan menjadi habuan ulat dan tanah. Itulah nasib kenderaanku. Namun....aku akan tetap ada dan terus ada. Sekarang di alam barzakh, akulah yang akan ditanya oleh Munkar Nakir.

Setelah tiupan sangkakala, di Mahsyar kelak jasadku yang telah hancur akan dibangkitkan semula. Sekali lagi aku akan disarungkan semula kedalamnya untuk menuju ke medan perhisaban. Akulah yang akan dipertanggungjawabkan keatas segala perlakuanku didunia.


Setelah itu rohku bersama jasad hidup selama-lamanya tanpa maut akan datang menjemputnya lagi. Tiada lagi perpisahan roh dari jasad. Disana adalah kehidupanku yang hakiki. Untuk kehidupan akhirat itulah aku dilahirkan didunia ini. Demikian perjalananku dan seluruh hamba...

No comments:

Post a Comment