Thursday, July 20, 2017

ASAL-USUL KUDAT , SABAH, MALAYSIA

ASAL-USUL KUDAT , SABAH, MALAYSIA


Di zaman dahulu, Kudat lebih dikenali di kalangan masyarakat tempatan sebagai “Tanjong Berungus” dan kadangkala juga disebut dengan nama “Tambarungan”. Semasa kedatangan awal peniaga-peniaga Cina di Tanjung Berungus, mereka hairan melihat sejenis rumput yang tumbuh di merata-rata tempat. Kehairanan itu memaksa mereka ingin mengetahuinya daripada penduduk tempatan yang terdiri daripada suku kaum Rungus (Penduduk asal daerah Kudat ) yang kemudiannya memberitahu bahawa rumput yang menjadi tandatanya di kalangan mereka itu ialah “Kutad” yang membawa maksud “rumput lalang” dalam bahasa Rungus.

 oleh kerana sebutan “Kutad” oleh peniaga-peniaga Cina itu tadi tidak tepat maka lahirlah nama “Kudat” yang asalnya daripada rumput lalang (Kutad) di mana kawasan yang ditumbuhi rumput berkenaan akhirnya menjadi pusat pertemuan peniaga-peniaga imigran dengan orang tempatan  untuk menjalankan aktiviti perniagaan berjual beli secara tradisi.

Sementara cerita daripada suku kaum Binadan Kudat asalnya daripada perkataan “takkudad aku” yang membawa maksud “ Terkejut aku “ oleh salah seorang daripada suku kaum berkenaan yang terperanjat dengan bunyi sebuah kapal yang bernama “SANTI” ketika mereka berlayar dari Limau-Limauan ke Tanjung  Berungus. Peristiwa itu memberikan mereka idea dan bersetuju untuk menamakan Tanjung Berungus sebagai KUDAT.

Daerah Kudat mempunyai 3 buah pusat pentadbiran iaitu : -
Kudat Proper, Pekan Karakit  Banggi dan juga Pekan Matunggong.



KRONOLOGI SEJARAH PENTABDIRAN AWAL DAERAH KUDAT


Sejarah Kudat bermula sejak kurun ke 18 hingga Perang Dunia Ke-II berasaskan sumber-sumber manifestasi berikut:-

1. Sultan Amir dari Sulu menyerahkan hartanya di Borneo kepada East India Company. Bendera East India Company dikibarkan di Pulau Balambangan pada tahun 1763.

2. Skim penempatan dibuka oleh East India Company di Pulau Balambangan pada tahun 1773.

3. Penempatan di Pulau Balambangan diserang oleh Sulu pada tahun 1775 dan ditutup.

4. Pada tahun 1803 penempatan di Pulau Balambangan dibuka semula dan pada tahun berikutnya penempatan berkenaan ditutup sekali lagi.

5. Tercetusnya pemberontakan Sharif Osman terhadap Inggeris di Teluk Marudu pada 19.08.1845.

6. Kudat menjadi Ibu Negeri North Borneo (Sabah) pada 17.12.1881 hingga 1884.

7. Kedatangan pertama kaum Hakka di Sabah yang mendarat di Kudat pada 04.04.1883

8. Jepun menduduki Kudat pada 01.02.1942

9. Pusat pentadbiran Daerah Kecil Banggi diisytiharkan di Pekan Karakit pada 01.01.1975.

10. Sistem Residensi serta jawatan Residen Kudat dihapuskan didaerah Kudat dalam tahun 1979

KELUASAN KEDUDUKAN GEOGRAFI

Keluasan daerah Kudat adalah 1,287 KM persegi meliputi Semenanjung Kudat, Pulau Balambangan, Pulau Banggi, Pulau Malawali, Matunggong dan beberapa gugusan pulau kecil di sekitarnya. Bentuk muka bumi berbukit bukau. Cuaca tidak menentu dengan musim kemarau lebih panjang. Purata hujan tahunan 184 setahun.

KEGIATAN UTAMA EKONOMI





Kegiatan utama ekonomi penduduk daerah Kudat tertumpu kepada sektor pertanian. Seluas 54,723 Hektar adalah kawasan tanah yang sesuai untuk pertanian.

Daripada jumlah tersebut dianggarkan lebih kurang 32,960 hektar telah diusahakan untuk pelbagai tanaman yang berorientasikan tanaman jangka pendek dan jangka panjang. Sektor perikanan juga memainkan peranan utama di mana ianya penyumbang kedua terbesar selepas pertanian.

Sektor ini dilihat semakin berkembang dengan wujudnya beberapa kilang yang mengusahakan industri perikanan. Hasil perikanan kebanyakannya di eksport ke negara luar seperti Taiwan, Japan, Hong Kong dan lain-lain lagi. Lihat laman Ekonomi.

KEPENDUDUKAN

Populasi penduduk bagi ketiga-tiga daerah dianggarkan 84,000 mengikut bancian pada tahun 2010 dengan pecahan seperti berikut :-


·        Suku kaum Rungus, Kadazan & Dusun- 53.48%
·        Bumiputra Muslim - 32.59%
·        Cina - 13.40%
·        Lain-lain - 0.53%



Sumber dari : http://www.sabah.gov.my/pd.kdt/index.php/sejarah-dan-maklumat-kudat

No comments:

Post a Comment