PENDEKATAN DAN STRATEGI MENINGKATKAN JUALAN
PRODUK KRAF MALAYSIA
Pada
pandangan anda apakah pendekatan strategi dan pelan tindakan baru selain
daripada yang dilaksanakan perlu dibuat bagi meningkatkan jualan kraf tempatan
di peringkat dalam dan luar Negara.
JAWAPAN
Jualan
produk Kraftangan di Malaysia mengalami peningkatan setiap tahun dan
mencapai sasaran yang telah ditetapkan. Peningkatan nilai jualan setiap
tahun adalah disebabkan usaha berterusan Perbadanan Kemajuan Kraftangan
Malaysia melalui program Promosi yang diadakan di dalam dan luar negara.
Program promosi yang diadakan saban tahun adalah bertujuan untuk meningkatkan
nilai jumlah jualan produk kraf dan seterusnya meningkatkan pendapatan usahawan
kraf di Malaysia.
Usaha
melaksanakan program promosi telah berjaya meningkatkan jualan kraf dari tahun
ke tahun. Namun demikian kaedah, strategi dan tindakan baru selain yang telah
dilaksanakan melalui program promosi sedia ada perlu dibuat bagi memastikan
jumlah jualan kraf tempatan terus meningkat. Berikut adalah beberapa pendekatan
dan cadangan yang amat perlu bagi tujuan tersebut :
1.
Meningkatkan kesedaran dan penggunaan media sosial media kepada usahawan
sebagai kaedah baru memasar dan menjual produk kraf.
2.
Mewujudkan lebih banyak kedai kraf .
3. Pembelian
produk usahawan kraf terus oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia
4.
Perluaskan peranan kedai anak syarikat kraftangan di setiap negeri.
5. Belajar
kaedah yang digunakan jiran untuk meningkatkan jualan produk.
6.
Memperkasakan Peniaga kraf.
7.
Meningkatkan jualan produk usahawan kraf Sabah dan Sarawak melalui penambahan
aktiviti dan program Promosi dikedua dua negeri.
8. Kerjasama
dengan agensi kerajaan Persekutuan dan negeri, dan persatuan bukan kerajaan
yang terdapat di negeri – negeri dalam Malaysia melalui program Malaysia’s
National Blue Ocean Strategy (NBOS) “ .
1.
MENINGKATKAN KESEDARAN DAN PENGGUNAAN SOSIAL MEDIA KEPADA USAHAWAN KRAF SEBAGAI
KAEDAH BARU MEMASARKAN PRODUK.
Pemasaran
melalui Media Sosial merupakan salah satu cara pemasaran yang amat berkesan
jika diaplikasikan dengan cara yang betul. Kaedah dan cara baru memasar dan
menjual produk yang paling efisyen dan berjaya. Media sosial seperti facebook,
Twitter, Instagram, Linkedin, Foursquare, YouTube dan sebagainya adalah cara
promosi perniagaan yang popular dan mudah kerana boleh dilakukan di rumah atau dimana-mana
sahaja. Kaedah pengiklanan melalui laman sosial mudah dilaksanakan dan kaedah
yang percuma dan berkesan. Perkenalkan produk perniagaan dengan menghantar
gambar produk perniagaan serta kebaikkan penggunaan produk perniagaan untuk
keyakinan rakan laman sosial dengan menyertakan website, blog atau nombor
telefon perniagaan. Kaedah promosi melalui media soaial mempunyai banyak
kebaikkan untuk membina kenalan baru atau hubungan perniagaan yang baik dan
ikhlas sambil pertukaran peluang perniagaan.
Empat media
sosial yang popular masa kini untuk mempromosikan produk perniagaan ialah
a. Promosi
Produk Di Facebook. Facebook adalah
media sosial yang paling popular masa kini untuk pengiklanan produk perniagaan
yang boleh dilaksanakan secara percuma atau berbayar
b. Promosi
produk di Instagram. Instalgram adalah platform pengiklanan perniagaan popular kini selepas Facebook. Buat atau
create akaun instalgram untuk upload gambar produk perniagaan serta butiran
perniagaan sambil membina followers. Followers yang ramai amat penting untuk
meningkatkan keberangkalian keberkesanan dalam promosi perniagaan.
c. Promosi
Produk melalui Youtube.Youtube adalah media soaial yang menggunakan video atau
video bergambar. Pembinaan Youtube membolehkan kita mempromosikan produk
perniagaan dengan menyelitkan barangan perniagaan dalam sesuatu video youtube
d. Promosi
Produk Perniagaan Menerusi Website atau Blog Pemasaran produk perniagaan
memerusi website atau blog adalah bisnes online paling menarik, berkesan dan
berkekalan. Laman web atau blog adalah seperti kedai jualan online 24 jam yang
memaparkan gambar produk, maklumat produk, borang tempahan, testimoni, cara
hubungi dan sebagainya. Blog boleh di bina secara percuma tanpa had dengan
hanya memiliki akaun gmail. Blog percuma terbaik adalah blog wordpress atau
blogspot. Website atau laman web perniagaan adalah promosi perniagaan berbayar
iaitu perlu sedikit perbelanjaan sewa tapak server dan domain.
Memasarkan
sesuatu produk atau perkhidmatan dengan cepat, mudah dan menjimatkan kos
menjadi faktor pendorong kepada penggunaan media sosial. Usahawan pada
kebiasaanya memasarkan produk pada masa tertentu iaitu semasa aktiviti promosi
kraf. Bagi usahawan yang menggunakan media sosial, memasarkan produk tidak
tertakluk pada masa tertentu sahaja. Usahawan boleh memasarkannya pada
bila-bila masa. Kos yang diperlukan adalah kecil iaitu talian internet,
komputer ataupun telefon pintar. Usahawan kraf di Malaysia sebenarnya telah
ramai menggunakan media sosial ini untuk memperkenalkan produk mereka, memasar
dan menjual kepada pelanggan. Dari pemerhatian dan sedikit pencarian yang saya
buat sendiri, terdapat kira kira tidak kurang dari 300 orang usahawan kraf
Senjata (Parang dan pisau), Aksesori Mutiara, Batik dan songket menggunakan facebook untuk memasarkan produk
mereka. Ini belum lagi termasuk bidang kraf lain.
Berapa orang
daripada usahawan ini juga memberi maklum balas bahawa kaedah jualan produk
secara online amat baik dan memberi pulangan yang agak memberangsangkan. Pengusaha
Parang iaitu Encik Jamawid hj Soh, Encik Said Sahem dan tuan Hai Majad Abd
Halim memaklumkan bahawa jumlah jualan produk melalui kaedah ini boleh mencapai
nilai RM1000 hingga RM4000 sebulan dan secara berterusan. Sambutan yang
diterima amat menggalakan dan tempahan diterima secara berterusan dari dalam
negeri Sabah mahupun dari Semenanjung Malaysia.
Sehubungan
itu saya mencadangkan agar Perbadanan
Kemajuan Kraftangan Malaysia di bawah Bahagian Pembangunan Industri memberi tumpuan terhadap kaedah dan cara
pemasaran produk menggunakan media sosial ini. Kursus usahawan kraf membuat
akaun media sosial dan cara pengendalian
perlu dibuat dan diperluaskan penggunaan pada semua usahawan kraf
seluruh Malaysia. Kaedah perniagaan cara
ini amat mudah dan senang diurus selain menyertai program promosi yang
dianjurkan. Perniagaan cara alaf baru ini hanya perlu dilakukan dirumah dan
dimana mana sahaja yang penting akses untuk capaian sosail media tersebut ada.
Usahawan kraf yang tidak dapat menyertai program promosi paling baik
menggunakan kaedah perniagaan online ini dan ini salah satu peluang terbuka
untuk mereka memperkenalkan produk yang dihasilkan pada orang ramai.
Saya juga
mencadangkan agar usahawan yang sedia ada menggunakan media sosial ini
dikenalpasti berapa ramai dan seterusnya didaftarkan oleh Perbadanan Kemajuan
Kraftangan Malaysia. Maklumat nilai jualan melalui kaedah perniagaan online ini
dan jumlah usahawan terlibat akan dapat digunakan untuk analisa dan dapat
menghasilkan suatu keputusan yang terbaik untuk meningkatkan nilai jualan
produk usahawan pada masa akan datang.
2.
MEWUJUDKAN LEBIH BANYAK KEDAI KRAF
Setiap tahun
Kraftangan Malaysia membelanjakan jutaan ringgit untuk mengadakan program
Promosi jualan secara jangka pendek iaitu promosi kraf bertema, Promosi Kraf
Malaysia di Pusat Beli Belah, Pameran Perdagangan Di Luar Negara, Promosi
Pengguna Luar Negara, Pameran Perdagangan Dalam Negara dan Promosi Kraf di
Peringkat cawangan Negeri. Program
Promosi yang diadakan ini amat baik dan telah menyumbang meningkatkan nilai
jualan kraf setiap tahun. Walau bagaimanapun tempoh promosi jualan yang agak
singkat akibat kekangan peruntukan menghalang nilai jualan untuk terus
bertambah.
Sehubungan
itu saya mencadangkan agar promosi jualan secara jangka panjang atau berterusan
perlu diadakan iaitu dengan mewujudkan pusat jualan kekal dengan konsep kedai
kraf terbuka. Kita sedar bahawa Kraftangan Malaysia telah mempunyai dua anak
syarikat iaitu syarikat Karyaneka Sdn Bhd dan Kraf Holding. Namun demikian
keupayaan dan peranan kedua dua anak syarikat agak terhad dan hanya terdapat di
lokasi lokasi tertentu sahaja. Kedai kraf
kekal ini saya rasakan amat perlu dibina dan akan membolehkan usahawan kraf
menjalankan perniagaan secara berterusan dan secara sepenuh masa. Contoh kedai
kraf yang terdekat yang terdapat di negeri Sabah adalah gerai Kraf Pekan
Nabalu, Kota Belud Sabah yang ditelah
dibina oleh Kerajaan negeri Sabah.
Walaupun gerai ini tidak menjual sepenuhnya produk kraf tempatan tetapi
yang saya hendak tunjukkan disini adalah konsep cadangan kedai yang
dimaksudkan. Konsep kedai ini adalah terbuka dan boleh menempatkan ramai
usahawan kraf dalam satu satu masa.
Terdapat
kira kira 100 orang usahawan kraf menjual produk kraf di Pekan Nabalu. Produk
yang dihasilkan 40% adalah produk tempatan manakalah 60% adalah produk negara
jiran. Purata jualan setiap usahawan yang menjual disini adalah sebanyak
RM500.00 hingga RM5,000 setiap bulan.
Jualan keseluruhan produk sebulan adalah sebanyak RM250,000.00 iaitu
purata RM2500 sebulan bagi setiap usahawan. Setahun nilai jualan adalah
sebanyak RM3 juta.
RM3 juta
diperolehi untuk satu kawasan sahaja. Malaysia ada 14 negeri termasuk Wilayah
Persekutuan. Sekiranya empat belas
(14) gerai dibina mengikut jumlah
negeri yang boleh menempatkan 100 orang setiap , nilai jualan keseluruhan
setahun sekiranya nilai jualan satu negeri adalah sebanyak RM3 adalah sebanyak RM42 juta. Sekiranya setiap
negeri ada dua (2) atau tiga (3) barisan kedai kraf sebegini. nilai jualan
boleh mencapai ratusan juta .
Contoh kedai
Kraf Pekan Nabalu,Jalan Ranau, Sabah.
Ciri Kedai
kraf yang dicadangkan :-
a. Bersifat
mesra dan terbuka tidak perlu dipasang alat penghawa dingin. Cukup sekadar
kipas syiling.
b. Boleh
menempatkan ramai usahawan kraf dan dapat menjalankan perniagaan secara
berterusan
c. Usahawan
dikenakan yuran bulanan dengan kadar yang munasabah dan murah. Pulangan
pendapatan kepada Kraftangan Malaysia secara berterusan dan tetap.
Contoh kedai Kraf Akha Mountain di Chiang Rai Thailand
Cadangan ini
mungkin nampak agak sukar dilaksanakan disebabkan sukar untuk mendapatkan tanah yang berhampiran jalan
utama. Namun demikian kita kena maklum
bahawa Kraftangan Malaysia mempunyai tanah sendiri yang belum dibangunkan
contohnya di Sabah kita ada Tanah seluar 3 Hektar di daerah Tambunan Sabah yang
dilalui oleh jalan utama Kota Kinabalu ke Tambunan dan keningau. Selain itu
mungkin Kraftangan Malaysia juga mempunyai tanah di negeri lain yang tidak
dibangunkan lagi.Tanah tanah ini boleh dibangunkan untuk tujuan ini.
Kos
pembinaan mungkin agak tinggi tetapi pembinaan hanya sekali dan pulangan
pendapatan adalah secara berterusan. Pendapatan usahawan akan tetap dan
meningkat. Sewaan tapak kedai pada usahawan
pula memberikan pulangan pendapatan pada Perbadanan Kemajuan Kraftangan
Malaysia sekurang kurangnya tidak kurang dari RM300 ribu setiap tahun
sekiranya sewaan dikenakan sebanyak
RM250 sebulan untuk 100 lot kedai jualan. Sekiranya ada 14 kedai seumpama ini
seluruh Negara, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia menjana pulangan
pendapatan sebanyak RM4.2 juta hasil bayaran yuran daripada usahawan kraf.
3. PEMBELIAN PRODUK USAHAWAN KRAF TERUS OLEH
PERBADANAN KEMAJUAN KRAFTANGAN MALAYSIA
Saya amat
tertarik dengan kaedah yang dilaksanakan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian
Persekutuan (FAMA) dalam membangunkan usahawan Pertanian, penternakan dan
perikanan di bawah kendalian mereka. Pihak FAMA telah berjaya membimbing dan
membangunkan ramai usahawan berjaya dengan pelbagai kaedah dan cara yang
rasanya boleh diguna pakai oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. Salah
satu cara yang saya rasa boleh diguna pakai semula adalah konsep pembelian
produk terus dari usahawan, menggumpul dan memasarkannya.
Sebagai
contoh FAMA, selain membantu menyediakan ruang untuk pasaran produk usahawan di
bawah mereka melalui konsep pasar tani, FAMA juga bertindak membeli produk yang
dihasilkan dan memasarkan produk tersebut sendiri. Apa yang kita boleh pelajari
disini ialah Kraftangan Malaysia masih boleh membantu usahawan kraf menjalankan
jualan dan pasarkan produk mereka melalui program promosi yang diadakan dan
pada masa yang sama membeli terus produk
usahawan kraf yang berada di kampung kampung dan memasarkan produk tersebut
secara terus tanpa mengganggu perniagaan sedia ada antara usahawan yang
terlibat dengan aktiviti promosi.
FAMA juga mewujudkan Pusat Pengumpulan (CC) dan
Pusat Pengedaran (DC) yang dijadikan sebagai pusat mengumpul produk bagi
mengatasi masalah kekurangan produk dalam pasaran. FAMA juga mewujudkan
pusat-pusat pengedaran di kawasan bandar utama yang berhampiran dengan kompleks
pasar borong sedia ada. Pusat Pengedaran (DC) berperanan sebagai pusat
penerimaan, tambah nilai dan seterusnya mengedarklan hasil-hasil keluaran
pertanian ke rangkaian pasaraya dan institusi. Pusat pengedaran mempunyai
kemudahan dan peralatan untuk urusan pembungkusan semula, penyimpanana,
pemeraman dan khidmat logistik penghantaran.
Perbadanan
Kemajuan Kraftangan Malaysia melalui Program “Strategy Business unit” pada
tahun 90-an menjalankan aktiviti membeli terus produk daripada usahawan kraf
dan memasarkan sendiri produk tersebut kepada pembeli melalui Syariiat
Pemasaran Karyaneka. Walau bagaimanapun program ini telah diberhentikan.
Sekarang, apa yang saya perhatikan kaedah pembelian, pengumpulan dan pengedaran
untuk jualan terus produk kraf perlu dilakukan untuk tujuan membantu usahawan
kraf interprise mikro meningkatkan nilai jualan produk mereka.
Usahawan
Enterprise Mikro menjalankan perusahan secara kecil kecilan dan selalunya tidak
menyertai aktiviti promosi dan jualan yang dianjurkan Kraftangan Malaysia.
Aktiviti promosi yang dijalankan oleh Kraftangan Malaysia akan disertai oleh
usahawan kraf yang sama setiap kali
aktiviti diadakan. Maksudnya disini adalah usahawan Enterprise Mikro yang menjalankan
perusahan secara kecil kecilan hanya mengharap tempahan dan belian terus
daripada pembeli yang datang ke tempat mereka. Sekiranya Kraftangan Malaysia
menghidupkan semula aktiviti pembelian produk terus dari usahawan, aktiviti
pengeluaran dan nilai jualan produk akan meningkat.
4. PERLUASKAN
PERANAN KEDAI ANAK SYARIKAT KRAFTANGAN DI SETIAP NEGERI.
Cadangan
untuk menghidupkan semula aktiviti pembelian produk kraf usahawan terus oleh
Kraftangan Malaysia tidak akan berhasil dan berjaya sekiranya tidak ada outlet
dan pusat pemasaran produk yang telah dibeli daripada usahawan Enterprise Mikro
tadi. Sehubungan itu disarankan agar
peranan anak Syarikat Kraftangan Malaysia iaitu Karyaneka dan Kraf Holding di
perluas ke setiap negeri di Malaysia.
Wujudkan cawangan jualan produk setiap negeri iaitu menjual produk yang
telah dibeli dari usahawan kraf.
Sebelum ini
kedai kraf anak syarikat Kraftangan
Malaysia banyak diwujudkan di lokasi yang mempunyai sewa yang agak mahal dan
lokasi tumpuan untuk pengunjung berstatus tinggi. Namun demikian persepsi ini
perlu diubah dengan mewujudkan ruang perniagaan anak Syarikat ini di kawasan
yang mudah dikunjungi orang ramai termasuk pelancong dalam dan luar
negeri. Kedai yang dicadangkan :-
a. Wujudkan
kedai kraf di pejabat cawangan negeri yang belum ada cawangan Kedai Anak
Syarikat Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.
Setiap
negeri mempunyai pejabat cawangan dan mempunyai
ruang kosong yang boleh diisi dan dijadikan sebagai kedai kraf Anak
Syarikat Kraftangan. Contohnya cawangan Sabah sendiri mempunyai dua pejabat
iaitu di Kota Kinabalu dan di Kota Belud. Kedua dua lokasi ini mempunyai ruang
kosong yang boleh dijadikan kedai kraf Syarikat Karyaneka. Manakalah dari segi
sumber tenaga kerja pula, angota kerja Kraftangan Malaysia di bawah unit
Promosi dan pemuliharaan kraf di setiap cawangan boleh memainkan peranan
sebagai penjual dan membantu menjaga perjalanan kedai kraf yang diwujudkan
kelak. Alasanya mudah, anggota kerja kedua dua unit akan hanya sibuk atau
mempunyai banyak tugasan apabila ada diadakan aktiviti Promosi dan aktiviti
pendidikan kraf. Sekiranya tiada aktiviti anggota kerja kedua dua unit hanya
menjalankan kerja kerja biasa di pejabat.
b. Konsep
sewa bangunan kedai yang mempunyai ramai pengunjung
Contoh
paling dekat di Sabah adalah kedai Kraf “KADAIKU” milik Seri Pelancungan iaitu
anak syarikat Sabah Tourism Board yang diwujudkan di deretan kedai di Sinsuran
Badaraya Kota Kinabalu.
Kedai ini
diwujudkan di kawasan deretan kedai dan dari segi sambutan pengunjung amat
menggalakan. Hanya menjual produk kraf tempatan negeri Sabah. Daripada maklumat
yang diberikan kepada saya, purata pendapatan kasar setiap bulan boleh mencecah
angka puluhan ribu ringgit dan boleh menampung bayaran lima (5) orang pekerja
selain memperolehi keuntungan bersih yang amat menggalakan.
5. BELAJAR
KAEDAH YANG DIGUNAKAN JIRAN UNTUK MENINGKATKAN JUALAN PRODUK KRAF
Kita sering
menoleh kepada Indonesia apabila berhasrat untuk mengisi ruang tamu di rumah
kita dengan perabot berasaskan kayu. Manakala Thailand pula menjadi pilihan
apabila kita teringin memperagakan pakaian yang bertenun indah. Nama beberapa
negara di Eropah turut disebut-sebut apabila kita teringat untuk menghias rumah
dengan hiasan bunga kristal. Kita
seolah-olah enggan berpaling kepada hasil kraf tempatan yang mutu dan corak
rekaannya jika pun tidak jauh lebih baik tetapi mampu menandingi produk-produk
luar negara.
Di manakah
silapnya apabila rakyat negara ini memilih hasil kraf negara lain sedangkan
Malaysia kaya dengan produk kraf yang mempunyai pelbagai kelebihan dan
keistimewaannya sendiri.
Yang
Berhormat Datuk Seri Mohammed Nazri Bin Abd
Aziz sendiri pada sidang media yang dipaparkan di Utusan Malaysia pada 2
Mac 2004, mengakui industri kraf tempatan berhadapan dengan cabaran paling
getir untuk memastikan kewujudannya diiktiraf sama ada di peringkat domestik
mahupun antarabangsa. Beliau berkata, cabaran utama yang perlu ditangani ialah
memastikan usaha mempromosi kraf tempatan dilakukan secara berterusan dan
menjangkau kumpulan sasar termasuk pelancong. Katanya, promosi tanpa henti
melibatkan perbelanjaan yang tinggi dan kerjasama pelbagai pihak supaya
produk-produk yang diperkenalkan setanding dengan produk kraf luar negara.
Menurutnya, industri kraf memerlukan inovasi atau idea baru dalam semua aspek untuk
menghasilkan produk serta perkhidmatan yang berkualiti. Perubahan tersebut
boleh berlaku dalam pelbagai bentuk seperti pengenalan teknologi baru,
perubahan proses pembuatan yang boleh menjimatkan tenaga, masa dan kos serta
strategi pemasaran yang mantap bagi meningkatkan kualiti penghasilan produk
kraf dan seterusnya memasarkannya dalam pasaran terbuka.
Di persada
antarabangsa kraf tangan Malaysia telah meneroka pasaran di Asia Barat, Eropah,
Jepun dan Hong Kong. Namun nilai jualan dan tempahan produk kita di peringkat
antarabangsa masih kurang memberangsangkan. Sehubungan itu kajian demi kajian
dibuat dan dilaksanakan dan penyertaan diperingkat antarabangsa masih
dilaksanakan sehingga kini. Pencapaian dan peningkatan jelas menunjukkan ada
pencapaian yang agak baik walaupun
sedikit. Kita mahukan lebih dari apa
yang kita perolehi sekarang. Caranya adalah kita belajar daripada negara yang
telah berjaya ini apakah resepi kejayaan mereka mengangkat produk kraf negara
mereka meninggalkan Malaysia jauh ke belakang.
Dalam kes
ini saya mengambil contoh negara Indonesia. Mengikut bacaan dan penelitian yang
saya buat mendapati terdapat emapt (4) jenis produk Kraftangan dengan berlainan
bahan yang amat terkenal di Indonesia dan telah menembusi pasaran antarabangsa
sebagai salah satu sumber ekonomi yang memberi nilai pulangan kepada negara
ini.
i. Produk
perabot ukiran kayu
ii. Kain
Batik
iii. Anyaman
Bambu & Rotan
iv. Batu dan
Logam
Produk
Indonesia ini amat laris adalah disebabkan harga produk yang dihasilkan amat
murah dan kualiti yang agak baik terutama dalam bidang ukiran kayu. Kita mungkin tidak mampu menandingi harga
produk yang dihasilkan disebabkan kos upah adalah murah berbanding di negara
kita. tetapi isunya disini dan yang paling menarik perhatian bagaimana negara
Indonesia tonjolkan produk mereka ini terkenal di mata dunia?.Harga produk yang
murah bukan penentu semata mata tetapi adalah disebabkan usaha berterusan
Indonesia memperkenalkan produk mereka di mata dunia. Salah satu usaha yang
digunakan seperti dalam artikel online “Merdeka.com” Indonesia pada 21 April
2016 adalah dengan membawa pembeli dari
luar negara ke Indonesia. Beberapa cara
lain juga diberikan antaranya ialah :
i. Kepekaan
terhadap keinginan atau permintaan pasaran luar
ii. Jangan
bangga mengatakan produk kita terbaik tetapi hendaklah melihat kepada
permintaan pembeli
iii. pelaku
industri kraftangan harus menguasai tiga hal, iaitu kualiti produk, harga
produk dan waktu penghantaran produk.
Di Malaysia,
apakah produk yang kita boleh tonjolkan di peringkat antarabangsa?. Indonesia
telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa dengan lima (4) jenis produk
dengan bahan yang berlainan. Kita cari formula ini dengan memperkenalkan satu
(1) produk dahulu yang kita boleh ketengahkan. Sekiranya berjaya kita tambah
lagi dengan produk kraf yang lain dan begitulah seterusnya sehingga kita benar
benar berjaya sebagaimana negara yang sudah berjaya. Sehubungan itu saya
mencadangkan agar kajian oleh Bahagian Pembangunan Industri kraf melalui unit
Promosi antarabangsa perlu dibuat secara berterusan mencari ilmu dan belajar
daripada negara yang telah berjaya ini usaha usaha untuk terus meningkatkan
aktiviti mempromosikan produk Malaysia
di luar negara.
6.
MEMPERKASAKAN USAHAWAN PENIAGA KRAF (TRADERS)
Pengusaha
atau pembuat kraf terutama di bawah kategori Enterprise Mikro selalunya akan
kekal sebagai pengusaha dan menghasilkan produk. Aktiviti jualan produk banyak
tertumpu di kawasan bengkel pengeluaran dan tidak akan bergerak jauh keluar
kawasan dimana mereka menghasilkan produk. Analisa yang saya buat terhadap
pengusaha Enterprise Mikro di negeri Sabah menunjukkan situasi ini tepat. Saya
mengambil analisa dan contoh nilai jualan usahawan kraf Sabah di bawah program
Enterprise Mikro. Purata pendapatan usahawan kraf di bawah kategori Enterprise
Mikro akan kekal dari bulan Januari hingga Disember pada tahun yang berkenaan.
Contoh di Sabah purata nilai jualan produk hasil rimba usahawan dalam kategori
ini pada tahun 2014 dan tahun 2015 adalah dalam RM 1500 hingga RM2,000 sebulan. Tidak berlaku peningkatan hampir
pada semua usahawan.
Walau
bagaimanapun bagi pengusaha kraf yang mengusahakan pembuatan produk dan juga
menjual produk mereka melalui aktiviti promosi atau sebagainya nilai pendapatan
berubah dari masa kesemasa. Sehubungan
itu saya mencadangkan agar usahawan yang aktif menyertai program promosi dan
jualan yang danjurkan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia atau mana mana
agensi ini perlu dibantu untuk menjadi lebih perkasa dan boleh membantu
pengusaha kraf lain. Maksudnya disini ialah usahawan dalam kategori ini perlu
dibantu dalam apa cara sekalipun untuk lebih maju kehadapan dan seterusnya
apabila dia telah berjaya, tempias kejayaan pasti akan dikongsi dengan
pengusaha kraf lain terutama pengusaha dalam kategori Enterprise Mikro. Caranya
adalah dengan menjadi pengusaha yang berkeupayaan menjual produk dalam kuantiti
yang banyak dan seterusnya memperolehi produk dengan belian daripada usahawan
kategori Enterprise Mikro tadi.
Dari apa
yang saya perhatikan, pelbagai usaha telah dibuat dan aktiviti untuk membantu
usahawan kraf tapi keupayaan usahawan yang dibantu masih ditahap lama. Walaupun
ada yang berjaya tetapi kuantitinya amat kurang. Pelbagai bantuan diberi
seperti orientasi pengeluaran produk, bantuan prasarana bangunan dan mesin,
rekaan produk dan pelbagai lagi tetapi apa yang kita capai kita boleh lihat
sendiri.Nilai jualan masih kekal tahap lama seperti tahun tahun sebelum ini.
Sehubungan
itu saya mencadangkan agar fokus bantuan di tambah dengan memasukan pembangunan
usahawan kraf di bawah kategori peniaga kraf. Usahawan dalam kategori ini
sahaja yang boleh dan berkeupayaan bergerak jauh untuk membangunkan nilai
jualan produk kraf kerana mentaliti dan pemikiran mereka memang telah
ditetapkan untuk berniaga dan meningkatkan pendapatan. Semakin jauh mereka
bergerak dan semakin meningkatnya perniagaan maka akan meningkatlah permintaan
produk kraf untuk diniagakan. Putaran permintaan kraf akan beroperasi iaitu
pengusaha enterprise mikro atau usahawan kraf luar bandar dan kecil kecilan
akan terus mendapat manfaat tempahan berterusan dan usahawan perniaga pula akan
terus mendapat hasil produk secara berterusan dan perniagaan produk kraf akan
semakin rancak dalam pasaran.
7.
MENINGKATKAN JUALAN PRODUK USAHAWAN KRAF SABAH DAN SARAWAK MELALUI PENAMBAHAN
AKTIVITI DAN PROGRAM PROMOSI DI KEDUA DUA NEGERI.
Seperti kita
sedia maklum, usahawan kraf kedua dua negeri iaitu Sabah dan Sarawak adalah
sangat ramai tetapi nilai jualan kraf adalah antara yang terendah di Malaysia.
Berbanding pengusaha kraf di Semenanjung nilai jualan agak memberangsangkan.
Dengan purata jumlah usahawan yang paling ramai sepatutnya kedua dua negeri
adalah penyumbang utama nilai jualan keseluruhan negara.
Sepanjang
tahun Perbadanan Kemajuan mengadakan banyak program Promosi di peringkat negeri
di Seluruh Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak. Namun keupayaan usahawan
kedua dua negeri untuk menyertai semua program promosi yang dianjurkan dalam
negara amat terhad disebabkan jarak dan lokasi terutama program promosi di
Semenanjung Malaysia. Usahawan kraf di Semenanjung Malaysia boleh bergerak
dengan mudah hanya dengan menaiki kenderaan darat untuk bergerak dan menyertai
semua program promosi yang diadakan samaada di peringkat nasional atau cawangan
negeri. Usahawan kraf Sabah dan Sarawak
pula penyertaan mereka dalam aktiviti promosi kraf hanya dalam negeri sahaja.
Faktor ini adalah salah satu sebab kenapa jualan produk usahawan kedua dua
negeri agak rendah dan agak sukar untuk bertambah.
Sehubungan
itu saya mencadangkan sekiranya ada peruntukan pada masa akan datang, aktiviti
promosi kraf kedua dua negeri ini amat perlu ditambah dan diperluaskan. Ini
cara dan peluang yang boleh digunakan oleh usahawan kraf kedua dua negeri
memasar, menjual dan memperkenalkan produk mereka. Bertambahnya aktiviti
promosi maka akan bertambahla nilai jualan produk kraf usahawan kedua dua
negeri.
8. KERJASAMA
DENGAN AGENSI KERAJAAN PERSEKUTUAN DAN NEGERI, DAN PERSATUAN BUKAN KERAJAAN
(NGO) YANG TERDAPAT DI NEGERI – NEGERI DALAM MALAYSIA MELALUI PROGRAM “
MALAYSIA’S NATIONAL BLUE OCEAN STRATEGY (NBOS).
Penstrukturan
semula perbelanjaan kerajaan menyebabkan banyak program yang dirancang tidak
dapat dilaksanakan. Walau bagaimanapun isu ini tidak sepatutnya menjadi
penghalang kepada pelaksanaan aktiviti yang boleh memberi pulangan pendapatan
kepada usahawan kraf. Kerjasama NBOS
merupakan salah satu kaedah yang boleh dipraktik dan diguna pakai pada masa
sekarang.Perkongsian perbelanjaan atau kepakaran dan kemahiran antara agensi
negeri dan persekutuan dan pihak NGO adalah cara yang terbaik.
Perbadanan
Kemajuan Kraftangan Malaysia di peringkat Ibu Pejabat dan negeri sudah
melaksanakan kerjasama seumpama ini. Perkara ini jelas apabila banyak aktiviti
Promosi jualan kraf dapat diadakan di seluruh negeri walaupun tanpa ada
peruntukan yang diberikan. Sehubungan itu saya mencadangkan agar aktiviti NBOS
ini diperkasa dan diperluaskan dengan kerjasama yang lebih erat dan akrab
dengan agensi yang boleh memberi kerjasama dan memberi pulangan pendapatan
kepada usahawan kraf seluruh negara.
Lembaga
Pemasaran Pertanian Pesekutuan (FAMA) sebagai contoh yang menyediakan banyak
kemudahan kepada usahawan di bawah bimbingan mereka untuk menjalankan
perniagaan secara beterusan seperti berikut :
i.
Penyediaan ruang jualan seperti Pasar Tani. Pasar tani pula dipecahkan kepada
beberapa jenis lagi iaitu Pasar Tani, Pasar Tani Borong, Pasar Tani Mega,
Karavan Tani, Pasar Tani Kekal dan Pasar
Tani Desaraya.
ii. Program
Keusahawan gerai buah buahan
iii. Program
keusahawan Agrobazar
iv. Pasar
Komuniti dan Kravaan
v. Gerai di
Pusat Tranformasi Luar Bandar
Program yang
sama dan hampir serupa diberikan oleh agensi kerajaan Persekutuan yang lain
seperti Malis Amanah Rakyat (MARA), Kementerian Luar Bandar dan Wilayah dan
beberapa agensi kerajaan yang lain. Diperingkat negeri pula terdapat agensi
kerajaan atau NGO yang turut berperanan menyediakan ruang jualan seumpama ini
kepada usahawan mereka.
Cadangan
saya disini adalah, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Ibu Pejabat perlu
menjadi pelopor untuk bekerjasama dengan agensi
ini supaya usahawan kraf di seluruh negara dapat menyertai program
jualan sepanjang tahun. Banyak ruang perniagaan disediakan oleh kerajaan
melalui agensi yang berkenaan tetapi tiada peluang untuk usahawan kraf
menyertainya. Melalui kerjasama yang diadakan oleh Perbadanan Kemajuan
Kraftangan Malaysia dengan agensi berkenaan samada secara “Memorandum of
understanding ” atau MOU, usahawan kraf akan sentiasa mendapat peluang menjalankan
perniagaan.
Kesimpulannya,
usaha berterusan amat perlu untuk terus meningkatkan nilai jualan produk kraf
Malaysia. Meningkatnya nilai jualan kraf bermakna meningkatlah hasil pendapatan
usahawan kraf. Kita berharap industri
kraf akan terus berkembang seiring dengan perkembangan industri lain yang ada
dalam negara dan tugas kita adalah berusaha untuk memastikan Kraftangan
Malaysia masih relevan pada masa akan datang dan matlamat membangunkan usahawan
kraf
No comments:
Post a Comment