Wednesday, July 19, 2017

PEMBUATAN PERAHU LEPA SEMPORNA

PEMBUATAN PERAHU LEPA SEMPORNA

Perahu Lepa merupakan alat pengangkutan dan perhubungan bagi suku kaum Bajau Semporna yang paling penting pada masa dahulu. Lepa digunakan sebagai alat perngangkutan untuk mengunjungi sanak saudara yang tinggal berjauhan di kepulauan Semporna seperti Pulau Timbun Mata, Pulau Mataking, Pulau Bohecuz, Pulau Denawan, Pulau Ligitan, Pulau Sipadan dan Pulau Lahad Datu. Penggunaan kapal Lepa mula diperkenalkan oleh Panglima Malabih Masama dan digunakan untuk pelayaran ke Filipina.

Dinyatakan juga bahawa selain menjadi alat pengangkutan, Lepa juga dijadikan sebagai tempat kediaman bagi orang-orang laut. Sehingga kini keadaan ini masih wujud di daerah Semporna, Orang-orang laut yang dikenali sebagai “Pala'u” masih mengekalkan tradisi menjadikan perahu sebagai tempat kediaman utama mereka.

Selain Panglima Malabih Masama, pengasas Lepa Semporna termasuklah juga Japaludin Anak Salih Ngungsu Ayak dan datuk kepada bekas TYT Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Sakaran Dandai iaitu Panglima Uddang yang pada waktu itu menetap di Tong Taalun, Pekan Semporna.

Seorang lagi yang dikenali sebagai Rajanong telah menyatakan bahawa Lepa milik beliau yang dibuat di Kampung Kabimbangan Pulau Bum-Bum, Semporna merupakan Lepa yang asal dan asli dan tidak pernah diubahsuai corak dan buatannya.


TUAN HAJI MOHD MUSARI BIN EBBA

Tuan Haji Mohd Musari Bin Ibnu dilahirkan di Kampung Kabimbangan, Pulau Bum-Bum, Semporna pada 10 Disember 1942. Beliau merupakan anak jati suku kaum Bajau, Pulau Bum-Bum, Semporna, Sabah.
Beliau mula berkecimpung dalam bidang pembuatan perahu lepa sejak tahun 1969 iaitu ketika berumur 27 tahun. Mula menjalankan aktiviti pembuatan secara sambilan dan mempelajari ilmu pembuatan perahu dari Tuan Haji Bakara yang juga merupakan sepupu beliau.

Pada mulanya bengkel pembuatan yang digunakan untuk membuat perahu Lepa adalah amat kecil (Seperti dalam gambar). Hasil yang dikeluarkan juga amat terhad kepada satu buah perahu untuk tempoh tiga bulan.
 
Pada masa kini, Haji Mohd Musari banyak menerima tempahan perahu Lepa sekitar bulan Januari hingga April setiap tahun.

Sambutan Pesta Reggata Lepa 

( Artikel dari https://rumpailautaslisemporna.wordpress.com/category/kenali-semporna/

Daerah Semporna, Sabah menyambut Perayaan Regatta Lepa setiap tahun pada bulan April. Lepa merupakan suatu perkara yang penting dalam kehidupan kaum Bajau sejak zaman dahulu. Perayaan Regatta Lepa merupakan tapak untuk memperkenalkan dan mempromosi seni, budaya dan adat kaum Bajau yang berwarna-warni. Setiap tahun pengunjung akan berpeluang melihat sendiri keunikan pembuatan bot Lepa yang cantik disulami dengan tarian dan muzik yang dimainkan di atas bot lepa.

Regatta Lepa merupakan acara tahunan untuk semua peminat, pengusaha dan penggiat seni-budaya Bajau dan Lepa berkumpul. Melalui perayaan ini, kaum Bajau yang berada di merata tempat termasuk di pulau-pulau akan bertemu, bersosial dan bertanding. Pertandingan utama adalah merebut gelaran ‘Lepa Tercantik’.

Perayaan ini memakan masa 2 hingga 3 hari. Bayangkan di tepi pantai terdapat ratusan Lepa yang dihias cantik dengan segala macam renda, payung, sambulayang berwarna-warni, pakaian tradisi, persembahan kebudayaan dan pertandingan acara laut. Semua lepa-lepa ini akan beratur sambil bergerak perlahan dihadapan pentas yang disediakan untuk para hakim dan orang kenamaan untuk menilai dan memilih pemenang. Pemenang akan dipilih berdasarkan kecantikan Lepa dan tarian yang dipersembahkan.

Aktiviti sambutan Regatta Lepa dibahagikan kepada 2 kawasan utama iaitu ‘Acara Laut’ di tepi pantai dan‘Pentas Budaya’ dan pameran di Padang Pekan Semporna. Pada sebelah malamnya pula, pengunjung berpeluang untuk menyaksikan persembahan kebudayaan tempatan sambil diselang-selikan dengan nyanyian artis tempatan dan nasional. Pertunjukan bunga-api turut mewarnai langit Semporna pada malam tersebut.

LEPA: Dalam bahasa kaum Bajau Pantai Timur Sabah bermaksud ‘bot’. Ia dipercayai berasal dari kamuniti nelayan yang menetap di Pulau Bum-Bum Semporna pada satu ketika dahulu.

 Regatta lepa semporna

Regatta Lepa: Merupakan perayaan tahunan Daerah Semporna sejak tahun 1994. Regatta Lepa mula diperkenalkan pada tahun 1994 sebagai perayaan peringkat daerah dan kemudiannya diiktiraf menjadi perayaan peringkat negeri Sabah. Pada tahun 2003 Regatta Lepa telah dimasukkan ke dalam kalendar ‘Pesta Air Malaysia’ dan kini Regatta Lepa merupakan salah-satu acara tahunan Malaysia.


Daerah sunyi Semporna akan bergemerlapan dan berpesta apabila menyambut Regatta Lepa. Di sepanjang jalan‘Sambulayang’ akan menghiasi pandangan disamping pemidang dan iklan yang berwarna-warni. Bot-bot Lepa akan berlabuh disepanjang pantai Semporna dan menghiburkan pengunjung dengan pelbagai tarian, nyanyian dan muzik. Setiap bot lepa akan dihiasi dengan ‘sambulayang’. ‘panji-panji’, tipas-tipas’ dan renda. Perayaan ini mengundang ribuan pengunjung dari dalam dan luar negeri saban tahun.

No comments:

Post a Comment