SERAMIK KURON KG MALANGKAP KAPA KOTA BELUD
Apakah Kuron
?
Tembikar
asli
(Lanjang) suku kaum Kadazandusun di Sabah
yang diperbuat daripada tanah liat (Lagit) dan digunakan sebagai bekas memasak
nasi, lauk pauk dan herba ubat-ubatan tradisional.
Pembuatan
kuron ini berasal dan tinggal di Kg. Melangkap, Kota Belud yang terletak di
pinggir Gunung Kinabalu. Tanah liat diperoleh dari tebing sungai Kiliposu.
Tanah liat jenis ini berwarna kelabu.
SEJARAH KURON
Di Sabah,
penghasilan kraftangan seperti kuron di kalangan masyarakat asli di Sabah
bermula dalam usaha mereka untuk memenuhi keperluan harian. Mereka menghasilkan
pelbagai bahan yang banyak dengan tumpuan lebih kepada fungsinya dan kurang
memberi perhatian kepada perhiasannya. Pembuatan tembikar asli dengan motif
yang mudah memandangkan fungsinya lebih lazim sebagai bahan utilitarian.
Misalnya, kuron dipakai untuk memasak nasi, lauk-pauk dan ubat-ubatan
tradisional. Selain itu, penghasilan kraf mereka juga bergantung pada sumber
alam sekitar dan keperluan dari segi budaya.
Masyarakat
Kadazandusun (Lotud dan Bundu) serta Bajau/Sama (Kota Belud dan Semporna)
adalah antara masyarakat yang masih menghasilkan tembikar asli tempatan di
Sabah. Walau bagaimanapun, tembikar jenis ini amatlah jarang ditemui dan kurang
diusahakan sekarang. Tembikar keluaran kontemporari yang lebih murah dan lebih
lasak, serta mudah diperolehi di Sabah telah lebih diminati dan digunakan oleh
masyarakat ini. Tambahan pula penyediaan tembikar tradisional memerlukan masa
yang lebih panjang.
Pantang
Larang Dalam Pembuatan Kuron.
Penghasilan
tembikar tradisional lebih dikaitkan dengan kepercayaan sama ada membuat atau
selepas bahan siap dibentuk. Bagi mendapatkan hasil yang baik serta mengelakkan
daripada bala atau malapetaka berlaku semasa dan selepas mengutip bahan tanah
liat, persembahan jampi mentera lazimnya dilafazkan dan sajian dipersembahankan
kepada penghuni tempat pengambilan bahan tanah liat. Jika ritual ini tidak
dilakukan besar kemungkinan akan membawa penyakit atau bencana yang lain. Pada
masa yang sama, jika keluarga kebetulan sakit serentak pada masa penyediaan,
semua kerja-kerja pembuatan akan dihentikan sehingga keadaan mengizinkan.
Pembuat
Kuron.
Lazimnya,
pembuat kuron terdiri daripada kaum wanita, walaupun kadangkala kaum lelaki
akan mengutip tanah liat dari lapangan.
Proses
Pembuatan Kuron.
1. Tanah
liat lazimnya diambil dari tebing sungai.
2. Tanah
liat dibersihkan dan diasingkan dari benda asing atau batuan dengan cara
picitan.
3. Tanah
liat dibentuk menjadi seperti kon (merupai tin).
4. Bahagian
tengah tanah liat ditebuk dengan menggunakan wawaron (batang kayu yang
diperbuat dari kayu keras). Wawaron kemudiannya menekankan dinding lubang yang
bertujuan membesarkannya.
5. Bahagian
luar pula diketuk dengan lalabi (batang leper yang diperbuat
daripada
bambu).
6. Bahagian
luar dipalu bertalu-talu secara perlahan-lahan, manakala di bahagian dalam
dilapiskan dengan tuliyo (batu sungai yang berbentuk bulat) untuk membentuk
touwou (dasar) dan tinan (badan) kuron.
7. Proses
pembentukan sinaringsaring (leher), bahagian hujung tinan dibasahka kemudian
disambungkan/ditambah tanah liat dan dibentuk dengan menggunakan lalabi dan
tuliyo. Sepanjang proses ini, tanah liat ditambah sedikit demi sedikit untuk
menutupi keretakan.
8. Membentuk
kabang (mulut) kuron, menggunakan lalabi dan belakang tapak tangan,
Sambungan/panjangan daripada sinaringsaring. Sepanjang proses ini, air dicurah
sedikit demi sedikit.
9. Kuron
dijemur untuk mengeraskan kuron yang lembap kerana proses pembuatan kabang.
10. Kuron
diratakan dengan jari dan tanah liat ditambah, sekiranya terdapat lubang atau
retakan.
11. Proses
menghias/mencorak kuron. Sebatang kayu yang diukir geometrik akan dilekapkan
pada badan kuron untuk menghasilkan hiasan/corak.
12. Proses
pembuatan sompon (penutup kuron), tanah liat yang telah dibersihkan, dibentuk
seakan bulat dan kemudian dileperkan.
13. Tanah
liat yang telah dileperkan, diletakkan di atas dasar kuron (kuron
diterbalikkan) dan ditekan secara perlahan-lahan. Ini untuk mendapatkan
lengkungan penutup.Kemudian dibentuk pemegang sompon.
14. Kuron
dan sompon dijemur di bawah matahari sehingga kering dan keras, iaitu warna
menjadi keputihan.
15. Kuron
dan sompon dibakar dengan pelepah kelapa selama lebih kurang 1 jam sehingga
warna kuron menjadi kemerah-merahan.
16. Selesai
proses pembakaran, kuron dibiarkan sehingga sejuk dan selepas itu kuron sedia
untuk digunakan.
Latar
Belakang Pengusaha Seramik Kuron
Puan Kontiam
Sitan merupakan anak kepada mendiang Somotoi Lugu iaitu seorang tokoh kraf
etnik seramik Kuron dari suku kaum etnik kadazandusun Sabah yang telah
meninggal dunia pada awal bulan September 2004.
Beliau
merupakan satu-satunya pewaris selepas kematian ibunya yang tahu membuat produk
Seramik Kuron di kampung Melangkap Kapa, Kota Belud, dimana produk warisan
seramik ini ditemui dan dihasilkan.
Puan Kontiam
dilahir dan dibesarkan di Kampung Melangkap Kapa, Kota Belud, dan merupakan
seorang surirumah sepenuhmasa selain membantu suaminya mengusahakan ladang
pertanian.
Puan Kontiam
hanya akan membuat seramik Kuron sekiranya mendapat tempahan dari penduduk
kampungnya dan beberapa buah kampung sekitar. Melihat kepada masa depan Kuron
yang semakin ditelan zaman, Puan Kontiam kini sedikit sebanyak telah mula
menurunkan ilmu pembuatan Kuron kepada anaknya iaitu Puan Samsiah Bt Soupi.
Beliau berharap agar anaknya akan terus mewarisi tradisi nenek moyang dalam
pembuatan seramik Kuron.
terbaik
ReplyDelete